Saturday, May 8, 2010

Anak ayam.

Cerita ni terjadi sewaktu aku ke Pulau Pangkor pada minggu yang lalu. Aku telah kesana bersama-sama kawan-kawan dan beberapa orang guru. Tujuan kami ke sana, sekadar mahu bercuti dan menenangkan fikiran yang sering serabut memikirkan hal pelajaran.

Sampai sahaja di Pangkor, kami terus dibawa ke sebuah chalet berhampiran dengan pantai. Chalet itu sungguh indah dengan suasana kampung. Belakang chalet kami, terdapat hutan yang menebal. Kebetulan pula, bilik kami iaitu aku, Husna, Hadi, Aizri dan Arif terletak di sebelah belakang dan paling hujung. Keluar sahaja ke beranda, kami akan ternampak pokok-pokok yang indah menghijau. Tapi apabila malam, suasana itu menjadi gelap gelita dan seram.

Waktu siang tidak menjadi masaalah untuk kami bergelak ketawa dan menjerit melalak. Tiada apa-apa yang aneh berlaku. Tapi, apabila malam sudah berangkat tua, masing-masing seperti sudah mengetahui dan menjadi adat di tempat sebegitu, semua menjaga percakapan dan tutur kata. Semenjak Mahgrib, aku sudah dapat merasakan sesuatu yang aneh. Ketika aku sedang duduk bermain gitar di luar beranda, aku ternampak sesusuk tubuh sedang berjalan menuruni bukit yang agak landai. Aneh. Siapa yang berani berbuat demikian pada waktu-waktu itu.?

Aku hanya mendiamkan diri. Tidak mahu kawan-kawan ku yang lain turut merasa takut. Ini akan menjejaskan aktiviti kami.

Selepas semua orang sudah membersihkan diri, kami duduk beramai-ramai di atas katil untuk menangkap gambar sebagai kenang-kenangan. Kami duduk membelakangi tingkap. Telefon bimbit Husna menjadi mangsa untuk menangkap gambar pada malam itu. Selepas beberapa gambar diambil, kami bergilir-gilir untuk melihatnya. Hadi sekadar ketawa apabila melihat tubuhnya semakin gelap digigit air laut dan cahaya matahari. Begitu juga dengan yang lain.

Tapi, aku terkejut apabila terperasan sesuatu yang aneh di dalam gambar itu. Apabila aku melihat dengan lebih jelas, dan gambar itu di-zoom kan, aku dapat melihat sesuatu di luar tingkap yang terdedah.

POCONG.

Tapi mereka tidak menyedari hal itu. Aku membiarkan sahaja. Biarlah esok sahaja aku ceritakan kepada mereka. Selepas kami berehat, cikgu pengiring kami memanggil untuk makan malam di dewan chalet. Apa yang aku perasan pada waktu itu, ada seorang di antara kami, tidak langsung menjamah makanannya. Mukanya pucat lesu.

Kami kehairanan. Kami cuba memujuknya untuk bercerita. Tetapi dia menangis. Kami bertambah bingung. Apabila dipujuk, barulah dia berani untuk bersuara.

Katanya, dia ternampak sesuatu di depan bilik kami. Kelihatan seperti seorang perempuan, sedang bersandar di pintu, dan menggaru kepala.!

Saturday, April 24, 2010

Malamalamalam.

*Seperti diceritakan semula oleh Muhammad Syamie kepada wartawan 'Pukul dua belas' , Ahmad Albab.

* * *

Waktu itu, malam sudah pun tertidur. Anjing-anjing semua tiada lagi di tepi-tepi jalan. Tapi, kami masih berada di kedai milik Zakuan, rakan kami yang meniaga burger. Pada mulanya, kami sekadar lepak-lepak sambil main gitar. Tapi, selepas salah seorang kawan kami, yang bernama Hadi, datang dengan tergesa-gesa sambil mempamirkan wajah yang pucat ketakutan,perbualan kami jadi rancak dengan cerita seram. Hadi bilang, semasa dia dalam perjalanan ke situ, dia terserempak dengan seorang wanita yang berambut panjang melebihi punggung. Bajunya sangat kotor dengan lumpur. Apabila Hadi berhenti disebelahnya untuk bertanya jika ada apa-apa masaalah, wanita itu menunjukkan wajahnya yang sebenar. Dengan muka yang pucat lesi, dan sebelah kiri mukanya hancur dan berdarah, wanita itu berkata ;

"Saya cari mata kanan saya. Ada nampak.?"

Hadi terus pecut ke kedai burger Zakuan. Zakuan yang mendengar cerita Hadi, tergelak terbahak-bahak.

"Kau ni Hadi, mana ada hantu lagi zaman-zaman ni. Semua hantu kat bandar dah mati kena eletrik kat lampu jalan."

Zakuan bercakap besar. Dia seolah mempermainkan Hadi. Tapi, Hadi tetap dengan pendiriannya. Saya, dan rakan-rakan yang lain hanya mendengar perbalahan mereka. Selepas itu, masing-masing mula membuka cerita seram sendiri, sama ada yang dialami sendiri, atau cerita dari kenalan masing-masing.

Sedang rancak berborak, seorang gadis datang menghampiri kami.

"Bang. Benjo satu."

Kami tidak berapa nampak wajah gadis tersebut, kerana dia berdiri membelakangi lampu jalan.
Zakuan bangun dari bangku berwarna hitam, dan terus memasak. Sambil-sambil menjaga api, dia pasang telinga dengan cerita kami.

"Ahaha. Korang ni mengarut gila. Zaman ni mana ada hantu. Semua dah balik kampung."

Zakuan masih angkuh. Selepas benjo yang dipesan oleh gadis itu sudah siap, Zakuan segera ketempat gadis itu berdiri.

"Nah dik. Seringgi setengah."

Gadis itu terus memandang Zakuan. Hampir sahaja Zakuan pengsan apabila melihat wajah gadis itu, kosong.!

Tanpa hidung, mulut, dan juga mata.!

Monday, April 19, 2010

Asrama putera.

Cerita ini bermula di sebuah asrama. Kalian bayangkan, asrama yang sudah berlumut dindingnya, seperti sudah lama tidak berpenghuni. Tetapi, hakikatnya, asrama tersebut masih lagi digunakan. Cuma, kelihatan seperti sudah usang sedikit.

Di sebelah asrama puteri pula, hutan memenuhi padang yang luas dengan pokok kayu. Pada waktu malam, memang nampak seperti ada wajah yang tersengih menyeringai dari celah-celah pokok yang merimbun. Seram.

* * *

Hari Sabtu. Senior-senior pelajar lelaki, sedang bermain bola sepak di ruang kosong di antara asrama putera, dengan asrama puteri. Mereka menjadikan batu yang agak besar, dan kon tempat letak kereta, sebagai tiang gol. Meriah. Begitulah keadaan pada setiap malam Sabtu. Lagi-lagi, malam sabtu tiada sesi belajar atau istilah yang biasa diguna oleh pelajar asrama, 'prep'. Malam Sabtu memang seronok buat pelajar-pelajar ini.

Di beranda banggunan asrama putera dan puteri, bertenggek beberapa orang belajar yang melihat gelagat senior-senior mereka menyepak bola. Bagi yang perempuan, jika ada senior-senior yang kacak bermain pada malam itu, pasti mereka tidak akan melepaskan peluang mencuci mata.

Tiba-tiba, sedang mereka lincah beraksi di dataran itu, datang seekor anjing berwarna coklat, dan menyalak ke arah senior yang bermain bola. Pada mulanya, senior-senior itu tidak mengendahkan sahaja tingkah laku anjing tersebut. Tapi, mereka mula merasa sesuatu yang agak ganjil pada malam itu. Masing-masing mula, masuk ke dorm.

Pukul 10 malam, suasana asrama sudah sunyi sepi. Hanya nyalakan anjing yang masih belum berhenti. Pada waktu begitu, biasanya keadaan asrama masih riuh rendah dengan perangai para pelajar. Tapi, pada malam ini, suasananya lain sekali.

Anjing berwarna coklat tadi, masih menyalak. Tiba-tiba, datang lagi seekor anjing, dan menyalak juga. Datang lagi seekor, dan turut menyalak. Bilangan anjing makin banyak sehingga sampai 8 ekor. Perkara itu sungguh menghairankan. Tambahan pula, mereka menyalak pada arah yang sama. Arah tandas tingkat dua, asrama putera.

Asrama puteri juga turut senyap dan gelap gelita. Keadaan banggunan yang saling menghadap, membuatkan pelajar perempuan boleh melihat apa yang terjadi di asrama putera.

Salah seorang dari pelajar asrama putera, mendapat pesanan ringkas dari pelajar asrama puteri.

'Bumbung korang.'

Tanpa membuang masa, pelajar tersebut terus menghubungi pelajar perempuan tersebut.

Apabila ditanya, apa yang terdapat di bumbung asrama putera, pelajar perempuan tersebut hanya diam dan menangis. Bunyi berbisik-bisik saling kedengaran di sekelilingnya.

Seorang pelajar asrama putera yang agak berani, sudah nekad untuk melihat apa yang terjadi. Dia segera keluar dari dorm, dan melangkah ke arah tandas tingkat 2. Apabila dia menjenguk ke atas bumbung,

dia melihat ada seorang wanita sedang duduk bertenggek di bumbung tersebut. Rambutnya panjang menutup muka. Kaki dan tangannya yang panjang sehingga dapat memegang beranda tingkat 2, digoyang-goyang ke depan dan belakang.

"Hi hi hi hi hi." Wanita itu tergelak sendiri.